Thursday 25 September 2008

Dublin, Ireland. Indah.....

Pada hujung minggu yang lalu, aku telah melawat Dublin, iaitu ibu negara kepada Ireland. Aku berada di sana selama 3 hari bermula dari 20/09/08 - 22/09/08. Aku menginap di rumah seorang kenalan terletak di tengah-tengah kesibukan bandaraya Dublin.

Dublin... Namanya tidak asing lagi sebagai antara sebuah Bandaraya yang paling tinggi kos sara hidupnya. Bayangkan kawan ku menyewa rumah 2 bilik dengan kos sewa sebulan 1400 Euro. Belum termasuk bil utilitinya lagi. Lebih mahal daripada apartment yang aku sewa di tengah-tengah bandaraya Manchester.

Saiz Dublin bukanlah besar sangat jika hendak dibandingkan dengan Manchester. Tetapi setiap pelusuk jalan rayanya dipenuhi dengan lautan manusia dari pelbagai bangsa dan negara. Tidak kurang juga ramainya komuniti melayu di sana. Ada yang sudah bekerja dan ada juga masih menuntut. Suasana di Dublin pada hari ketibaan amat meriah walaupun tiada majlis dan juga keramaian diraikan di sana.

Apa yang aku suka tentang Dublin ialah keramahan penduduk setempat. Di mana jua aku berada, penduduknya pasti melemparkan senyuman yang manis kepada si pengunjung. Bila tersesat jalan dan bertanya, pasti di jawab dengan lemah lembut loghat Irish yang amat berbeza sekali. Kekadang amat sukar juga aku memahami apa yang dipertuturkan Tidak lupa juga dengan kejelitaan wanita setempat Dublin dengan matanya laksana berlian yang menyinar, bibir halus yang merah seperti saga, kulit putih halus bak kertas yang belum tercoret apa-apa dan lenggok loghat Irishnya yang sedap telinga mendengar membuat saya lebih terpikat dengan Dublin. Terdetik juga di hati ku untuk berjodohkan seorang jelitawan Irish yang baik budi pekertinya.

Suasana bandarayanya yang terancang dan kemudahan awam yang disediakan lebih dari tahap baik. Bayangkan di Manchester "Tram"nya masih menggunakan gerabak yang lama. Namun di Dublin Tramnya seperti gerabak keretapi London Underground. Malah lebih baik daripada itu.

Fakta yang aku ketahui mengenai Dublin ialah kos bil air untuk penduduk seluruh Ireland semuanya ditanggung oleh Syarikat Guinness, iaitu syarikat yang menghasilkan minuman beralcohol yang kita ketahui sebagai Stout. Aku juga berkesempatan melawat kilang pertama Guinness yang terletak di pinggir bandaraya Dublin.

Banyak lagi tempat menarik yang aku lawati sepanjang 3 hari di Dublin. Apa yang aku amat suka tentang Dublin ialah kadar jenayah dan masalah sosial remaja yang rendah. Boleh dikatakan Dublin adalah bandaraya yang selamat didiami. Berbeza sekali dengan Manchester, di mana kadar jenayahnya tinggi. Saban hari ada saja terpampang di dada akhbar kisah remaja ditembak ataupun ditikam dengan pisau. Tidak kurang juga remaja yang bergelar Scally / Chav yang berpakaian tracksuit serba hitam dan bertutup kepala (Hoodie) berkeliaran di sana-sini sekitar Manchester mewujudkan suasana huru-hara.

Jikalau berkesempatan, akan ku lawati Dublin lagi. Malah jika rezeki aku di Dublin, mahu saja aku berpindah dan bekerja di sana.

Boleh disimpulkan kunjungan tersebut membuatkan aku jatuh cinta pandang pertama dengan Dublin......

1 comment:

Unknown said...

huaahhhh im going to further my study in dublin soon. and finally i found a blog that atleast saying good things about dublin.heheh