Saturday 27 September 2008

Melayu Sarawak

Sarawak yang terkenal dengan nama jolokannya Negeri Bumi Kenyalang mempunyai rakyat yang terdiri dari pelbagai suku kaum. Terdapat kira-kira 30 kumpulan etnik di Sarawak. Kaum Iban merupakan suku kaum yang terbesar di Sarawak, diikuti oleh kaum Cina, Melayu, Bidayuh, Melanau dan kaum-kaum etnik yang lain. Sebagai sebuah negeri yang mempunyai pelbagai bangsa dan suku kaum, sudah pasti terdapat pelbagai kebudayaan dan adat resam yang diamalkan. Bagi masyarakat Sarawak, adat resam merupakan satu warisan tradisi yang begitu dititikberatkan dan telah sebati dengan kehidupan seharian mereka. Maklumat berkaitan adat resam masyarakat etnik Melayu Sarawak akan saya fokuskan kepada aspek perkahwinan yang hanya merujuk kepada kaum Melayu di Sarawak.

MELAYU SARAWAK

Masyarakat Melayu merupakan 21% daripada keseluruhan populasi masyarakat di Sarawak. Kebanyakan mereka bekerja sebagai nelayan. Pada masa sekarang, ramai masyarakat Melayu sudah berpindah ke bandar di mana mereka telah melibatkan diri dalam pelbagai profesion sama ada di sektor awam atau swasta. Melayu Sarawak mempunyai kaitan rapat dengan masyarakat Melayu Brunei. Ketika zaman pemerintahan Brooke, masyarakat melayu Sarawak lebih dikenali sebagai The Bruneis.

Kebanyakan rumah di perkampungan Melayu Sarawak diperbuat daripada kayu dan kebanyakannya masih terletak di tepi sungai yang jauh daripada bandar atau pekan. Mereka masih bergantung kepada industri tradisional seperti mengukir kayu, perak dan membuat tenunan kain songket.

Masyarakat Melayu Sarawak adalah beragama Islam di mana Islam telah dibawa ke Asia sejak 1000 tahun dahulu. Agama Islam banyak mempengaruhi kehidupan masyarakat Melayu Sarawak terutama aspek kebudayaan dan kesenian. Bagi aspek pembinaan, kebanyakan rumah atau bangunan mempunyai simbol atau ciri-ciri keislaman. Begitu juga dengan adat resam perkahwinan yang sememangnya berlandaskan Islam.

Perkahwinan

Perkahwinan dalam masyarakat Melayu Sarawak mempunyai banyak persamaan dengan adat perkahwinan masyarakat Melayu di Semenanjung. Ia merangkumi adat merasi, merisik dan majlis perkahwinan.

Sebelum Perkahwinan

Merasi
Apabila seseorang pemuda berkeinginan untuk berkahwin, dia akan meminta ibu bapa untuk mencari pasangan untuknya. Ibu bapa pula akan menyerahkan tugas kepada pencari jodoh untuk mendapatkan calon yang sesuai sebagai menantu mereka. Pencari jodoh akan menjadi perantara bagi keluarga lelaki dan akan memberikan pendapatnya tentang seseorang gadis itu sama ada sesuai atau tidak.

Ngangin
Selepas merasi, wakil pihak lelaki akan membuat pertanyaan secara formal kepada keluarga pihak perempuan (kerisik kerimun) sama ada perempuan itu sudah berpunya ataupun tidak. Pihak perempuan akan meminta tempoh untuk membuat persetujuan.

Bertekul (Merisik)
Bertekul membawa makna yang sama dengan merisik dalam masyarakat Melayu sebelum majlis bertunang diadakan. Ia bergantung kepada kesediaan bakal pengantin untuk ditunangkan. Semasa adat bertekul ini, hantaran wang atau barang kemas seperti cincin emas atau berlian akan diberi kepada si gadis yang menandakan acara pertunangan akan diadakan (mereya).

Mereya ( Bertunang )
Semasa upacara pertunangan dilangsungkan, hantaran akan diberi oleh pihak lelaki melalui satu rombongan yang terdiri daripada sekumpulan ahli keluarga pihak lelaki. Antara hantaran yang diberi adalah duit, cincin tunang, persalinan, kasut, beg tangan dan lain-lain. Pihak perempuan akan membalas pemberian pihak lelaki. Pada kebiasaannya, hantaran pihak perempuan lebih banyak daripada pihak lelaki. Sekiranya terdapat saudara perempuan yang lebih tua (kakak) yang belum berkahwin (langkah batang), pihak lelaki mesti memberikan sebentuk cincin emas kepadanya.

Semasa Perkahwinan

Nikah

(A) Persediaan

Persediaan bagi majlis perkahwinan biasanya mengambil masa yang lama. Ia termasuk persediaan menempah kad jemputan, mencari mak andam dan sebagainya. Bagi majlis perkahwinan, mak andam adalah antara orang yang penting dalam menghias pengantin dan persediaan pelamin.

Dalam masyarakat Melayu Sarawak, upacara yang melibatkan agama adalah acara akad nikah, sementara yang bukan bersifat agama adalah acara bersanding, tepung tawar, berlulut dan makan nasi temuan.

Bergendang adalah acara keraian secara beramai-ramai yang mengambil masa selama tujuh hari tujuh malam. Majlis akad nikah biasanya diadakan sehari sebelum bersanding. Apabila akad nikah telah disempurnakan, pihak perempuan secara sah telah menjadi isteri kepada lelaki tersebut.

(B) Jenis-jenis nikah

Nikah benar
Perkahwinan yang mengikut lunas-lunas Islam atau mengikut adat seperti merisik dan bertunang dan ianya direstui oleh kedua-dua belah pihak.

Nikah salah
Berlaku apabila pasangan didapati berkelakuan sumbang dan mereka akan dipaksa untuk berkahwin. Upacara perkahwinan akan dijalankan dengan ringkas dan sederhana.

Nyerah diri
Berlaku apabila lelaki menyerah diri kepada keluarga perempuan kerana tidak mempunyai wang untuk menanggung perbelanjaan perkahwinan. Ianya melibatkan perempuan dari golongan berada dan lelaki yang tidak berkemampuan. Mereka akan dinikahkan secara sederhana dan perbuatan ini akan memalukan keluarga perempuan.

Ngekot
Berlaku apabila perempuan menyerah diri kepada keluarga lelaki dan mereka akan dikahwinkan. Ini bukan kerana masalah yang melibatkan wang tetapi kerana keluarga perempuan tidak merestui atau menerima pilihan anaknya.

Majlis Perkahwinan/Persandingan 

Pada waktu malam hari, iaitu sehari sebelum berlangsungnya majlis persandingan, upacara menepung tawar (berlulut) pengantin diadakan. Upacara berlulut ini juga adakalanya akan diikuti dengan upacara berpacar (berinai). Acara ini dimeriahkan lagi dengan acara pencak silat, gendang Melayu dan andai-andai atau tandak. Pengantin juga akan dimandikan oleh mak andam dalam acara mandi perantan yang diakhiri dengan berwudhu’.

Sebelum majlis persandingan diadakan, pengantin perempuan akan didandan dan dihias oleh mak andam yang dipilih untuk kelihatan cantik dan berseri. Pengantin dilarang melihat cermin semasa sedang diandam kerana dikhuatiri akan hilang seri pengantin. Antara pakaian persandingan pengantin perempuan yang biasanya dipakai adalah kebaya songket, gaun pengantin yang diperbuat daripada kain sutera bertekat benang emas dan Gajah Holen iaitu pakaian tradisional Melayu Sarawak. Pengantin lelaki pula biasanya akan mengenakan persalinan seperti seorang pahlawan atau pakaian haji (jubah putih atau hitam dan serban).

Sebelum rombongan lelaki berarak ke rumah pengantin perempuan, pihak pengantin perempuan akan menghantar tikar mengkuang (tikar ngambik pengantin) yang dibalut dengan tudung keringkam yang disulam dengan benang emas ke rumah pengantin lelaki. Penghantaran tikar mengkuang ini menandakan bahawa pihak perempuan sudah bersedia menerima kedatangan rombongan dari pihak lelaki.

Pengantin lelaki akan diarak dengan menggunakan kereta atau jong yang akan dimulai dengan membaca selawat sebanyak tiga kali dan diikuti dengan paluan hadrah. Setibanya di rumah pengantin perempuan, mereka akan disambut dengan acara pencak silat (silat kapak) sebagai pembuka pintu.

Pengantin lelaki akan dibawa masuk ke rumah dan didudukkan di samping pengantin perempuan yang sedia menanti di atas pelamin yang telah dihias indah. Semasa majlis persandingan, upacara berjembak dijalankan di mana pengantin lelaki akan menyentuh dahi pengantin perempuan dengan ibu jarinya dan jejambak (tuala kecil yang wangi dan dilipat berbentuk bunga). Ianya bersamaan dengan adat membatalkan air sembahyang. Doa selamat dan selawat dibacakan untuk kedua-dua mempelai. Tepung tawar dilakukan dengan diiringi oleh paluan hadrah. Pengantin kemudiannya melakukan upacara turun naik tangga sebanyak tujuh kali.

Pada sebelah petang atau malam, makan nasi temuan diadakan. Ini bagi membiasakan pengantin dengan kehidupan berkeluarga dan sekaligus untuk menghilangkan rasa malu. Majlis makan nasi temuan ini dilakukan bersama ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai.

Selepas Perkahwinan

Pada kebiasaannya, selepas tujuh hari majlis perkahwinan berlangsung, adat menziarah ke rumah mentua oleh pengantin perempuan dilakukan. Adat ini juga dikenali sebagai mengundang menantu. Dalam majlis ini, ibu mentua akan menghadiahkan lapit kaki atau hadiah perkahwinan seperti rantai emas atau berlian bagi menunjukkan penerimaan dan kegembiraannya kerana mendapat menantu perempuan yang baru.

2 comments:

oon said...

pok, best juak enri tok, sine ko oleh?? dak ngekot, ngangin segala ya, beraie ku sarawak ehhh

Unknown said...

Salam... AKU link blog ni ke Blog AKU bro...