Friday, 12 September 2008

11 September

11 September... Ramai orang memikirkan 11 September sebagai hari yang malang dalam sejarah dunia di mana Amerika telah di kejutkan dengan serangan pengganas yang telah mengorbankan ramai nyawa yang tidak berdosa. Namun bagi ku 11 September adalah hari bersejarah bagi diriku di mana kali pertama aku menjejakkan kaki di bumi Britain ini.

11 September 2005 adalah hari bersejarah dalam hidup ku dalam mencorak masa depan dan impian yang aku impikan selama ini untuk menjadi seorang Jurutera yang berjaya. Aku tiba di lapangan terbang antarabangsa Manchester pada pukul 5.30 petang pada hari tersebut. Disebabkan aku bukanlah dari keluarga golongan atasan, ibu bapa ku tidak mampu untuk berangkat sama mengiringiku ke United Kingdom. Segalanya atas inisiatif sendiri untuk mencari jalan bagaimana hendak ke tempat yang di tujui. Destinasi seterusnya ialah Preston, Lancashire. Di situlah letaknya universiti tempat ku menuntut ilmu.

Setelah penat terbang di awan biru melintasi 3 benua (Asia, Afrika & Eropah) selama 13 jam, pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang Manchester yang ketat pada hari itu amatlah menyiksakan. Ini mungkin disebabkab dunia barat masih fobia daripada kisah 11 September Amerika. Setelah semuanya selesai, aku pun mengambil bagasi & keluar dari balai ketibaan.

Di balai ketibaan, aku masih terpinga-pinga seperti seorang yang dungu di dunia yang asing ini. Bahasa melayu tidak lagi dipertuturkan di sini. Saiz badan dan warna kulit jauh sekali untuk membuatkan aku berasa di tempat sendiri. Semuanya asing bagi ku. Perkara pertama yang aku lakukan ialah menelefon ibu bapa tercinta memberitahu yang aku telah selamat sampai di England. Hati risau ayah dan bonda menjadi tenang setelah mendengar suara ku dan mengetahui bahawa aku selamat sampai di England.
Destinasi saya seterusnya, Preston Lancashire. 

Masih terngiang-ngiang di telinga ku suara Tun Abdul Rahman Yaakub yang aku temui sebelum berangkat ke luar negara berpesan "Mun di sinun kelak jangan malu bertanyak. Orang putih akan nulong kita mun kita bertanyak dengan sidak. Bak kata pepatah melayu, malu bertanyak sesat jalan". Dengan berbekalkan secebis kertas yang tertulis University of Central Lancashire, Preston, aku memberanikan diri untuk bertanya kepada pegawai di lapangan terbang tersebut di mana dan bagaimanakah caranya untuk aku ke destinasi tersebut. Walaupun kebolehan ku untuk berkomunikasi dan memahami bahasa Inggeris adalah baik, namun satu pun penjelasan dari pegawai tersebut tidak ku fahami. Perkara pertama yang aku pelajari pada hari tersebut adalalah Bahasa Inggeris di Britain berbeza loghatnya (accent) mengikut tempat. Loghat yang di pertuturkan kepada ku adalah loghat Utara England (Northern accent / Manchunian accent). Setelah 3 kali pegawai tersebut menjelaskan kepada ku bagaimana hendak ke destinasi yang aku tujui, aku masih tidak faham dengan apa yang di pertuturkan. Maka aku pun mengucapkan terima kasih kepada pegawai tersebut dan mencari jalan dengan inisiatif sendiri bagaimana hendak ke destinasi tersebut.

Aku tenangkan diri dan cuba berfikir sebaik yang mungkin mecari jalan hendak ke Preston. Alhamdulillah, aku terlihat terpampang nama Preston pada skrin jadual keretapi. Maka aku pun bergegas mendapatkan tiket keretapi ke Preston. Ianya berjumlah £10.50. Dalam hati ku berkata "Iskhhh... Mahal ada jak ticket tok." Tepat pukul 6.25 petang keretapi pun bertolak ke Preston.

Ketika dalam perjalanan, aku melihat pemandangan landskap England yang indah. Biri-biri dan lembu sedang asyik mengunyah rumput yang segar menghijau dan rumah-rumah bata merah zaman Victoria menghiasi keadaan sekeliling. Cuaca pada ketika itu juga amat dingin seperti sebuah penghawa dingin yang besar di pasang untuk menyejukkan seluruh negara tersebut. Sesekali aku terbersing disebabkan oleh cuaca yang dingin. Setibanya aku di stesyen keretapi Preston, aku duduk seketika untuk mencari jalan bagaimana hendak ke Universiti. Hari telah pun gelap dan aku masih tiada hala tuju. Kebetulan hari tersebut adalah hari Ahad. Mana mungkin pejabat universiti beroperasi ketika itu. Aku juga tidak tahu di mana akan ku berteduh pada malam itu. Lantas aku pun berkata pada diri sendiri, "Aaahhh... Tido rah railway station pun jadi lah. Orang putih bukan nya kisah. Lagik pun sekda orang tauk dengan aku bah. Apa nak dimalu aku tido atas kerusi di station tok." Lalu saya membuka bagasi untuk mengeluarkan Sleeping Bag yang aku bawa dari Kuching. Aku sudah kepenatan dan bersedia untuk melelapkan mata. Keselesaan adalah perkara yang kedua bagi ku ketika itu.

Belum sempat aku merebahkan diri di atas kerusi, datang seorang petugas stesyen keretapi tersebut menyapa ku. Beliau bertanya adakah aku baru tiba di negara ini. Aku menceritakan situasi ku yang baru tiba di negara ini dan tiada tempat untuk bermalam. Beliau bimbang yang aku akan kesejukan di tengah malam kelak dan mencadangkan agar aku menginap di sebuah hotel murah berhadapan dengan stesyen tersebut. Aku berterima kasih kepada pegawai tersebut dan menyatakan bahawa aku selesa untuk bermalam di kerusi tersebut sahaja. Namun beliau tetap berkeras supaya aku menginap di hotel tersebut. Lagipun bayarannya cuma £20 semalam. Aku pun bersetuju untuk bermalam di hotel yang bernama Railway Inn berhadapan dengan stesyen tersebut. Ketibaan ku di hotel disambut dengan mesra oleh seorang pekerja hotel tersebut. Sebenarnya hotel tersebut adalah sebuah pub dan menyediakan bilik untuk penginapan juga. Setelah membayar sewa untuk malam itu, pekerja tersebut membantu aku mengangkat beg ku ke bilik.

Setelah pintu bilik di tutup, perkara pertama yang aku lakukan ialah memasak mee maggi yang aku bekal dari Kuching. Laparnya aku pada ketika itu hanya tuhan yang tahu. 2 bungkus maggi menjadi santapan mewah ku pada malam itu. Setelah kenyang, aku pun melabuhkan tirai hari yang panjang itu. Sebelum melelapkan mata, aku berdoa

"Ya Allah, Engkau lindungilah hamba mu ini. Bantulah aku dalam setiap perkara yang aku lakukan. Permudahkanlah urusan ku sepanjang di sini. Kepadamu aku memohon dan kepadamu aku berserah. Amin...."

Jika dibandingkan dengan kehidupan ku di Kuching, segalanya serba mewah. Sejak aku membuka mata melihat dunia ini kemewahan telahpun disediakan oleh orang tua ku yang penuh rasa bersyukur menerima kehadiran ku di dunia ini. Apa yang dikehendaki tersedia di hadapan mata. Hendak ke mana-mana, kereta tersedia. Hendak makan mewah dan sedap, bagi tahu sahaja, pastikan dapat ku nikmati. Katil ku yang besar dan empuk menjadi tempat melelapkan mata melabuhkan tirai hari. Dikala kesejukan, selimut cotton menjadi pemanas badan dan dikala kepanasan, penghawa dingin dan kipas angin sedia memberi khidmatnya.

Namun di sini, aku belajar erti susah. Aku mula mengenali apa itu susah dan menghargai setiap yang ada pada diriku. Nilai matawang yang tinggi membuatkan aku berfikir berkali-kali untuk menikmati santapan yang mewah.
Hidup tidak seperti di Kuching. Untuk berbelanja aku harus mencari duit poket lebih dengan melakukan pekerjaan sambilan. Katakan saja apa kerja yang telah ku lakukan. Mencuci tandas, menyapu sampah, mengelap habuk di meja pejabat, menjawab panggilan telefon, mencuci gelas, memandu kenderaan take away, mengangkat kotak yang berat dengan kudrat tulang empat kerat, memotong ikan dan sebagainya pernah aku lakukan demi menampung kehidupan di sini. Wang perbelanjaan yang di sediakan oleh ibu bapa hanya digunakan untuk tujuan pelajaran dan menampung kos sewa rumah. Multi tasking, itulah kemahiran aku yang pelajari dari kehidupan itu. Pagi aku ke universiti untuk mentelaah, tengah harinya pula aku melakukan kerja sambilan demi mendapatkan beberapa pound sterling untuk menampung santapan tengah hari merangkap sarapan pagi dan juga makan malam ku. Pada sebelah petangnya, aku kembali semula ke universiti untuk menyambung sesi pembelajaran. Sebelah malamnya aku melabuhkan punggung ke kerusi perpustakaan untuk menambah ilmu apa yang dipelajari siang tadi.
Hujung minggu adalah masa untuk bersantai. Masa terluang yang ada aku gunakan untuk berkelana di muka bumi Britain ini. Tujuannya adalah untuk menikmati pemandangan indah, menenangkan fikiran, merapatkan diri dengan alam dan si Penciptanya, dan juga belajar mengenali diri ini dengan lebih mendalam.

Aku yakin pengalaman hidup ini membuatkan diriku lebih kuat dan bersedia dalam menempuhi kehidupan hari mendatang. Insyaallah, bila berkeluarga kelak di masa hadapan akan aku kongsikan bersama anak-anak dan juga isteri tercinta pengalaman hidup ku ini. Aku mahu anak-anak ku belajar menghargai dan mensyukuri apa yang mereka dapat dalam hidup mereka. Aku mahu mereka pandai berdikari dan tidak lupa asal usul mereka.

No comments: