Segala pekerjaan pedang itu boleh dibuat dengan kalam,
Adapun pekerjaan kalam itu tiada boleh dibuat dengan pedang,
Dan beberapa ribu dan laksa pedang yang sudah terhunus,
Dengan segores kalam kesemua pedangnya jadi tersarung.
Kata kalam akulah raja ini dunia,
Siapa yang mengambil aku dengan tangannya,
Akan ku sampaikan kerjanya.
-Syair Persia, Raja Haji Ali. Dipetik dari catatan melayu Bustan Al-Katibin, 1850-
Baru-baru ini minat ku dalam penulisan semakin mendalam. Walaupun latar belakang ku bukanlah dalam bidang sastera, namun aku usahakan juga. Mungkin cara penulisan ku tidaklah seperti seorang sasterawan, tapi keinginan untuk mempelajarinya amatlah mendalam.
Penulisan aku lihat adalah salah satu cara untuk menyampaikan ilmu pengetahuan. Di samping itu juga aku melihat penulisan sebagai salah satu cara untuk meluahkan buah fikiran dan pengalaman supaya dapat dikonsikan bersama kepada si pembacanya.
Seperti syair di atas, penulisan juga dilihat lebih berkuasa daripada ketajaman pedang sehingga ianya dapat menyarung semula pedang yang telah terhunus. Buktinya pada zaman perjuangan kemerdekaan, penulisan dijadikan sebagai salah satu senjata yang paling ditakuti oleh pihak penjajah kerana ianya memainkan peranan penting dalam membangkitkan semangat pembebasan anak-anak jati. Pada zaman kegemilangan Mongol, mereka telah membakar penulisan-penulisan pihak Babylon (pada masa ini lebih dikenali sebagai Iraq) ketika menjajah negara tersebut kerana di khuatiri masyarakat setempat menjadi bijak dan akan bangkit menentang pemerintahan mereka. Banyak lagi catatan sejarah dunia yang berkaitan dengan kekuatan pengaruh penulisan.
Kehidupan ku sebagai seorang anak jati Sarawak yang merantau jauh ke negara orang penuh dengan suka dan duka. Jadi aku merasakan adalah baiknya juga jika aku merakamkan pengalaman dan pengetahuan baru yang aku pelajari dari kehidupan di perantauan ini untuk tatapan ku sendiri dan juga pembaca.
No comments:
Post a Comment