Melati Sarawak
Novel Melati Sarawak pada dasarnya adalah sebuah kisah cinta yang tidak berakhir dengan kebahagiaan, kerana ada halangan, iaitu perbezaan ideologi dan wujudnya orang ketiga yang menguji kesetiaan dan kasih sayang antara pasangan yang bercinta.
Kandungan ceritanya bolehlah dikatakan bermula dengan watak utama, Harun yang mengunjungi majlis gendang perempuan atau majlis menjaja ‘kulit kambing kering’ yang diserikan oleh seorang gadis bernama Aminah yang mendapat jolokan Melati kerana keelokan wajah dan kemerduan suaranya selain bakatnya yang amat terserlah sebagai syeh gendang, sehingga digelar Mak Senior (mungkin sebenarnya Mak Gendang Senior - selain syeh gendang panggilan lain untuk orang seperti Aminah ialah mak gendang).
Dalam majlis itu Harun tertarik oleh lirikan Aminah/Melati dan pantun-pantun yang dijual oleh Melati dengan suara yang merdu. Akibat daripada menonton majlis itu dia yang ketika itu masih belajar dalam darjah tujuh, asyik teringat akan Melati.
Kecamuk cinta Harun semakin membara apabila suatu petang dia dan Yasin, sepupunya yang juga menjadi sahabat karibnya, melintas di depan rumah Melati dalam perjalanan bermain tenis. Dalam peristiwa itu Harun pura-pura terjatuh raket tenisnya, padahal tujuannya hendaklah mengorat supaya dapat menatap wajah Melati.
Penghalang utama cinta di antara Harun dan Melati, secara tidak langsung ialah ayahnya, Pak Noraldin, yang amat menentang permainan gendang perempuan, dan sebagai anak yang terdidik untuk mematuhi cakap orang tua, Harun terpengaruh sehingga membencikan akan gendang perempuan.
Disebabkan Harun sudah tidak lagi cekap otaknya menerima pelajaran dan hanya lulus darjah tujuh dengan susah payah maka Pak Noraldin membuat keputusan tidak disambung pelajarannya, walaupun hasrat Pak Noraldin mahu Harun menjadi doktor. Disebabkan Harun berhenti sekolah darjah tujuh, maka adiknya Nahariah yang berada di darjah lima diberhentikan juga, kerana tiada lagi orang yang hendak menemaninya semasa ke sekolah.
Setelah berhenti sekolah Harun bekerja di pejabat ayahnya, seorang kontraktor bangunan yang berjaya dan terkenal. Tiba-tiba Harun dan Melati berjumpa lagi dalam majlis gendang di Kampung Baru, di rumah kawan karibnya. Dalam majlis itu Harun bermain viola dan Yassin bermain gitar. Pertemuan ini menyebabkan cinta Harun semakin mabuk cinta terhadap Melati sehingga dia menulis surat kepada Melati menyuruh Melati berhenti menjadi syeh gendang, kerana dia mahu memimang Melati.
Melati atau Aminah tidak berhenti menjadi syeh gendang sebaliknya semakin galak bergendang ke sana ke mari, dan dalam majlis-majlis itu Aminah pula tercari-cari dan semakin rindu akan Harun.
Cinta di antara Harun dan Aminah atau Melati menjadi begitu mendalam sehingga saling teringat dan termimpi satu sama lain.
Secara kebetulan pula syarikat ayah Harun diberi kontrak membina rumah baru Pak Jalil, ayah Melati di Batu Dua Setengah. Semasa mengawasi para pekerja di sana, Harun terserempak dengan Melati berbual mesra dengan Omar di tempat sunyi. Melati dan Omar terkejut dan malu oleh peristiwa itu dan Omar menyerang Harun tapi dapat dielakkan oleh Harun. Harun memujuk Omar supaya bersama dan mereka berdamai demi menjaga nama baik Pak Jalil dan Melati serta diri mereka. Melati pula melarikan diri ke rumah kerana malu.
Peristiwa itu menyebabkan Harun patah hati dan memandanmg serong pada Melati yang selama ini dikasihinya. Dia berhasrat mahu meninggalkan bandar Kuching kerana tidak tahan dengan bahana kulit kambing kering atau gejala gendang perempuan itu. Kebetulan dalam tahun itu berlaku kebakaran di Sibu dan semua rumah kedai ranap. Harun dihantar ke Sibu oleh ayahnya untuk meninjau peluang mendapat kontrak pembinaan di Sibu dan kemungkinan membuka cawangan perniagaan di Sibu.
Harun mengambil peluang itu untuk menjauhkan diri dari Bandar Kuching dan daripada Melati. Baginya Melati yang menjadi harapannya telah terbukti bukan seorang wanita yang setia dan bersih pekertinya, kerana sanggup berdua-duaan di tempat sunyi dengan seorang lelaki yang meminatinya sebagai syeh gendang, yakni dianggap tidak baik pekertinya.
Setelah selesai tugasnya di Sibu Harun tidak terus balik ke Kuching, sebaliknya melarikan diri ke Singapura. Dari Singapura dia menulis surat memberitahu ibu bapanya hal sebenarnya, iaitu dia kecewa dalam percintaannya dengan Melayu akibat kewujudan gendang perempuan dan tidak akan pulang selagi ada amalan hudaya itu berterusan. Dia juga mencadangkan supaya Yassin dikahawinkan dengan adiknya, Nahariah, demi mengelakkan sebarang masalah dan fitnah kerana baginya menyimpang seorang perempuan muda di rumah amatlah besar bahayanya.
Pada akhir cerita, Yassin dan Nahariah menjadi suami-isteri tapi Harun pula tidak lagi berada di Singapura kerana khabarnya sudah berpindah ke Malaya.
Penerbitan
Dalam sejarah perkembangan novel di Sarawak, Melati Sarawak yang terbit dalam tahun 1932, adalah novel kedua ditulis dan diterbitkan di Sarawak. Novel pertama dalam bahasa Melayu di Malaysia mengikut S Othman Kelantan dan Hamzah Hamdani adalah Hikayat Panglima Nikosa yang terbit pada 30 Jun 1876[i].
Melati Sarawak edisi asalnya dalam tulisan Jawi diterbitkan dalam tahun 1932, dicetak oleh The Sarawak Printing Company milik Rakawi[ii] iaitu sebuah dari beberapa buah pencetak di Sarawak ketika itu.
Edarannya setelah diterbitkan adalah sekitar bandar Kuching. Ini adalah kerana kadar kenal huruf di Sarawak ketika terbitnya novel itu amatlah rendah dan rangkaian kedai buku dan kedai pengedar bahan bacaan hampir tidak ada. Kalau adapun buku-buku yang terbesar adalah buku-buku berupa kitab agama kertas kuning yang diedar oleh para mubaligh yang juga penjual kitab dan kain bergerak ke kampung-kampung.
Semasa hayatnya dalam penerbitan pertama itu sambutan tidaklah seberapa, dan banyak simpanan novel itu musnah akibat sering dilanda banjir di rumah penulisnya atau dikedai-kedai buku yang menjualnya, dan kesemuanya musnah kemudiannya semasa Perang Dunia Kedua, kecuali senaskhah yang dihadiahkan kepada Muzium Sarawak oleh penerbitnya.
Orang yang mengesan kehadiran novel itu di Muzium Sarawak ialah Tuan Haji Yusof Peter Heaton, (seorang ekspatriat yang berkahwin dan bermastautin di Sarawak, yang banyak membuat kajian tentang masyarakat tempatan). Beliau kemudiannya memberitahu Profesor Philip Lee Thomas yang pernah berkhidmat sebagai seorang pensyarah di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.
Novel itu kemudiannya dibawa ke pengetahuan Dewan Bahasa dan Pustaka yang melakukan tranliterasi naskhah itu dari tulisan Jawi ke Rumi dan akhirnya diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dalam tahun 1980 menjadi sebuah novel setebal 74 mukasurat, daripada 116 mukasurat dalam edisi asalnya. Novel itu diulangcetak pada pertengahan tahun 1990-an.
Dalam tahun 1987 telah diadakan satu pementasan sebuah drama berdasarkan novel tersebut[iii], dan para pelakon terdiri daripada para pelakon dari Sarawak, serta para pelakon dari Badan Keluarga Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur, dengan Izzie Khairan sebagai pelakon utama dan jemputan khas. Pelakon kembarnya di Sarawak ialah Allahyarham Fatimah Haji Hashim seorang penyanyi yang kemudiannya merupakan pelakon pentas dan televisyen yang cukup hebat di Sarawak, yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya semasa sedang dalam projek pementasan drama pentas Datu Merpati.
Projek pementasan Melati Sarawak itu yang merupakan salah sebuah projek integrasi kebangsaan antara penduduk di Sarawak dengan di Semenanjung Malaysia, telah dilaksanakan dengan cara agak unik, iaitu dengan pihak Kuala Lumpur menyediakan satu set pementasan dan pelakon sendiri dan pihak di Sarawak pula menyediakan kumpulan lengkap pelakon sendiri. Kemudiannya dua kumpulan itu dicantum dan para pelakonnya diselang-ganti di dalam pementasan di Auditorium P RTM Kuching, di Balai Budaya DBP Kuala Lumpur dan Dewan KPS Sibu. Pengarah-pengarah bersama dalam pementasan unik itu ialah Tuan Haji Othman Zainuddin dari Kuala Lumpur dan Allahyarham Esmawy Haju Husly dari Kuching. Seluruh pementasan dan tenaga produksi dan pelakon Sarawak dibiayai oleh Kerajaan Negeri Sarawak.
Latar Belakang Cerita
Dari segi latar masa, zaman diceritakan adalah sekitar September tahun 1927 sehingga Februari 1928, dan mungkin setahun dua kemudian apa kala Harun dikatakan merantau ke Malaya, dengan tidak memberi perincian lanjut.
Masyarakat dan tempat diceritakan ialah masyarakat Melayu di Kuching, dengan menyebut Kampung Hilir, Kampung Baru dan Kampung Tengah. Tempat-tempat yang menggunakan nama demikian tidak ada lagi sekarang, walau bagaimanapun ada nama-nama tempat yang masih ada sampai sekarang seperti Rambungan, Satuk, Jalan Datus, Jalan Muda Hashim dan kebun bunga (Taman Muzium) dan sebagainya.
Walaupun bandar Sibu ada disebut dalam novel ini tapi tidak pernah dipaparkan sebarang peristiwa di Sibu yang memberi sumbangan sebenar kepada perkembangan plot cerita. Pada akhir cerita bandar Singapura dijadikan latar belakang tapi peranannya tidaklah berat, sekadar untuk menunjukkan kejauhan dan perbezaan budaya sahaja.Dengan itu dalam novel ini mengandungi banyak pemerian akan keadaan, amalan, sikap dan perlakuan budaya masyarakat Melayu di kampung-kampung di Kuching.
Untuk meyakinkan pembaca betapa berbahayanya gendang perempuan, dalam novelnya pengarang banyak memerikan dengan cukup terperinci suasana majlis itu. Walau bagaimanapun pengarang nampaknya alpa kerana pemerian yang amat terperinci yang diberikan tidak pula menampakkan keadaan yang terlalu memudaratkan dari segi keruntuhan moral dalam majlis demikian. Dengan kata lain pengarang ‘terlupa’ memanfaatkan gambaran dan paparan majlis itu untuk memperkuatkan hujahnya akan kesan negatif budaya itu.
-Dipetik daripada En. Saiee Driss.-
Siapa Saiee Driss?
Mungkin ramai diantara kita yang tidak mengenali Saiee Driss. Beliau adalah seorang penulis anak jati Sarawak yang giat berkarya. Meminati dan menceburi bidang penulisan secara hobi, sambilan dan profesional. Beliau pernah menjadi guru, penterjemah kanan, editor berita radio dan Pengawal Penyiaran di RTM Sibu, dan Editor Penerbit Berita TV di Angkasapuri. Baru menamatkan kontrak beliau sebagai Editor Bicarawara di Radio24, Wisma Bernama, Kuala Lumpur. Beliau juga seorang pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Pemenang Hadiah Sastera Kebangsaan Negeri Sarawak, dan Anugerah Penggiat Sastera Negeri Sarawak serta Anugerah Puisi GAPENA. Seorang lulusan Sarjana Muda Pengajian Melayu (UM) dengan kepujian, pernah bertugas sebagai pensyarah bebas dan penterjemah teks dari bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu dan sebaliknya.
Beliau adalah seorang penulis anak jati Sarawak yang saya minati.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment