Tuesday, 24 August 2010

Wan Othman pencipta lagu patriotik

Wan Othman pencipta lagu patriotik

Oleh M Hifzuddin Ikhsan

WAN Othman menerima pingat daripada Tuan Yang Terutama Negeri Sarawak, Tun Abang Mohamad Sallehuddin pada 1994. Pengasas Orkestra Simfoni cipta lagu 'Ibu Pertiwi' yang menjadi lagu rasmi Negeri Sarawak JASA Datuk Wan Othman Wan Hamid Alkhatib, kini dikenang kerajaan dan seluruh rakyat Sarawak sebagai insan yang bertanggungjawab mencipta lagu rasmi negeri 'Ibu Pertiwiku'. Mendengar kembali bait-bait lagu Ibu Pertiwiku, pendengar pastinya dapat merasakan betapa Wan Othman begitu mencintai tanah tumpah kelahirannya itu sehingga setiap lirik ditulis begitu indah dan mencerminkan pengorbanan yang dilakukan rakyat negeri itu.


Dilahirkan pada 4 Julai 1931, Wan Othman menempuh suka duka rakyat negeri ini sejak di bawah pemerintahan Rajah Brooke, penjajahan Jepun serta Inggeris sebelum pembentukan Sarawak, Sabah dan Tanah Melayu kepada Malaysia pada 16 September 1963. Menceritakan perjalanan hidupnya, anak sulungnya, Wan Zaleha Wan Othman, 53, menyifatkan ayahnya yang pernah menjadi pembantu kerani Majlis Perbandaran Kuching (KMC) adalah seorang pencipta lagu patriotik sehingga akhir hayatnya dan seorang yang pemurah kepada individu yang kesusahan. Katanya, ilham mencipta lagu arwah boleh datang pada bila-bila masa dengan beliau akan menghabiskan masa berhari-hari menggarap lagu itu malah sebelum menghembuskan nafas terakhir, ayahnya sedang menyiapkan satu lagu bagi sebuah sekolah di sini. WAN Othman bersama rakan lamanya, Ahmad Jais. Sebagai pemain 'double bass', Wan Othman menubuhkan Orkes Rayuan Pemuda Keroncong Party di bawah pimpinannya sendiri dan sering menerima jemputan membuat persembahan pada majlis kenduri kahwin sebelum menjadi pencipta lagu. Lulusan darjah 5 Madrasah Melayu pada 1951 ini juga memiliki Sijil Gred III Teori Muzik dari 'Royal Music Society of London' mula mencipta lagu patriotik apabila diminta menggubah lagu bagi sekolah dan jabatan kerajaan negeri yang baru dibuka selepas pembentukan Malaysia. Beliau kemudian bersama beberapa pemuzik anak negeri mengasaskan Orkestra Simfoni Negeri Sarawak dan pada 1961, lagu 'Juita Ku' terkenal di negeri ini malah hingga kini ia masih dinyanyikan penyanyi tempatan pada majlis rasmi negeri.


Kemuncak kerjaya beliau apabila lagu 'Kucupan Azimat' ciptaannya dan lirik oleh Ismail Hassan yang dinyanyikan Ahmad Jais (kini Datuk) dirakamkan ke piring hitam dan mendapat sambutan hangat peminat bukan saja di Semenanjung malah Sarawak. Mengimbau kembali kenangan bersama ayahnya, Wan Zaleha, berkata sebagai anak sulung dia sering dibawa arwah ke studio Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sarawak bagi merakamkan lagu atau membimbing kumpulan pemuzik.

"Arwah adalah orang yang tenang ketika memberi tunjuk ajar malah sanggup menunjukkan cara bermain alat muzik seperti biola yang betul kepada pemuzik di bawah kelolaannya sekiranya ada bahagian tertentu yang tidak memuaskan hatinya. "Di rumah pula, arwah mengajar kami semua bermain alat muzik sehingga setiap adik beradik saya cekap bermain biola, gitar dan piano. Namun, tiada yang menjadikan muzik sebagai kerjaya tetap mereka," katanya ketika ditemui, baru-baru ini. Dalam catatan terakhir Wan Othman, beliau sendiri menyatakan lagu ciptaannya adalah simbol penghargaannya kepada negara serta pemimpin yang banyak berjasa kepada penduduk di Sarawak.

Lagu ciptaannya berbentuk mudah malah pendengar mampu menyanyikan semula selain merasakan kekuatan liriknya menyentuh perasaan. Lagu 'Kucupan Azimat' adalah penghargaan kepada pahlawan negara yang meninggalkan kekasih demi berjuang untuk negara dan sanggup mengorbankan diri.

Meneliti setiap lagu ciptaan Wan Othman, adalah seperti kita membaca cerita perjuangan yang tidak akan berakhir malah setiap langkah mempertahankan negara adalah bukti kepada kesetiaan yang tiada bandingannya. Katanya, pencipta sekarang mencipta lagu menggunakan alat muzik seperti 'keyboard' dan komputer tetapi pencipta dulu hanya bergantung kepada ilham semata-mata sebelum nota muzik dicatatkan di atas kertas. "Ketika mencipta lagu, alat muzik yang saya gunakan cuma gitar dan saya jadikan kerja ini sebagai hobi atau untuk diberikan kepada pihak yang mahukannya. "Bagi mencipta liriknya pula, saya selalu membaca buku dan surat khabar selain mendengar kembali lagu lama yang indah liriknya," katanya dalam catatan terakhirnya. Jasanya sebagai insan yang mencipta lagu rasmi negeri Sarawak akan terus dikenang seluruh rakyat negeri ini bagi tatapan generasi akan datang.

Info: Mula aktif menyertai kumpulan seperti Orkes Irama Sarawak, Orkes Nirmala, Orkes AS Khaider Quintet dan Orkes Tiga Serama yang popular di Sarawak sejak usia remaja Berkahwin dengan Datin Napsiah Basri. Bersara dari KMC dengan jawatan terakhir sebagai Bendahari Perbandaran pada 1983 Menghembuskan nafas terakhir pada 24 Mac 2008 ketika berusia 77 tahun. Mempunyai 10 anak berusia antara 53 hingga 29 tahun.

sumber:

http://tintakeris.blogspot.com/2008/06/wan-othman-pencipta-lagu-patriotik.html


2 comments:

Wan said...

thank you for posting this.. i really appreciate it :)

Ronnie Johan Iswandy said...

Terima kasih kepada saudara M Hifzuddin Ikhsan kerana telah menulis biografi ringkas tentang Allahyarham datuk saya.