Wednesday, 10 February 2010

Alamat Zaman Katahtaan Nagari Baruni

Karya sejarah tua Alamat Zaman Katahtaan Nagari Baruni ini dalam tulisan Jawi-Melayu Brunei mencatatkan:

“Alkisah peri mengatakan zaman dahulukala di nagari Barunai berugama kafir. Pada zaman itu nagari Barunai mengantar upti ka Majapahit satahun satampayan air pinang muda. Maka apakala Awang Alak Batatar menjadi raja tiadalah baginda manghantar upti lagi ka Majapahit. Ratu Majapahit pun sudah mati dan Patih Gajah Mada pun mati. Nagari Majapahit pun tiada daya ... damikian riwayatnya.

Maka Awang Alak Batatar dangan Patih Barbai asal raja datang ghaib .... Pengawa jadi Pangiran ialah yang sangat gagah barani pada zamannya itu. Dan pada masa Ratu Malaka di atas karajaan Nagari Juhur, Awang Alak Batatar baristeri ka Juhur ialah digalarkan Awang Alak Batatar ada Seri Sultan Muhamad dan saudaranya Patih Barbai jadi Bendahara Seri Maharaja Permaisuara digalar dan pengiringnya yang lain itu digalar jadi Panggawa dan dianugerahi oleh Baginda di Juhur empat menteri yang basar2 dan babarapa pagawai dan ngaskar dangan babarapa dayang2nya dianugerahi nobat nagara ganta alamat sarta sakalian alat-alat karajaan yang barbagai-bagai.

Dan dianugerahi nagari iaitu Kalaka dan Saribas dan Rajang dan Sabangan dan Samarahan dan Sarawak karana di pulau, Juhur pun mamarintah juga. Dianugerahkan sakali kapada anak baginda manjadi milik sapanjang-panjang rantau itu di bawah parintah Sultan Barunai damikianlah riwayatnya pada zaman dahulukala.”


Sunday, 24 January 2010

16 September 1963: Sarawak dalam Malaysia

Gabenor British terakhir di Sarawak, Sir Alexander Waddell bersalaman dengan Haji Openg (Allahyarham Tun Haji Openg)sebelum Sir Alexander Waddell meninggalkan Sarawak.

Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra dalam satu ucapan beliau di Persidangan Persatuan Wartawan Luar Negeri Asia Tenggara yang diadakan di Hotel Adelphi, Singapura pada 27 Mei 1961, telah menggagaskan tentang perlunya diwujudkan satu rancangan untuk membawa Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo Utara, Brunei dan Sarawak ke dalam satu bentuk kerjasama politik dan ekonomi. Antara lain, kerjasama ini perlu diadakan adalah bertujuan untuk menyekat pengaruh komunis yang semakin ketara yang boleh menggugat kestabilan politik serantau. Pendirian kerajaan ini adalah berdasarkan kepada perkembangan politik di Singapura yang memperlihatkan peningkatan pengaruh golongan kiri. Di samping itu juga gagasan ini bertujuan untuk mengimbangi jumlah penduduk, meningkatkan kemajuan ekonomi dan mempercepatkan proses kemerdekaan bagi Singapura, Brunei, Borneo Utara dan Sarawak.

Mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel Cawangan Tanah Melayu dan Borneo di Singapura pada 23 Julai 1961 telah bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia dengan dipengerusikan oleh Donald Stephen. Tujuan penubuhan Jawatankuasa ini adalah untuk menerangkan dengan lebih jelas tentang konsep Malaysia kepada orang ramai khususnya penduduk Sabah, Sarawak dan Brunei. Dalam Jawatankuasa ini, perwakilan dari Tanah Melayu terdiri daripada ahli-ahli Parlimen. Perwakilan Singapura terdiri daripada ahli-ahli Majlis Mesyuarat Undangan termasuk seorang ahli parti pembangkang. Anggota perwakilan dari Sarawak adalah ahli-ahli Majlis Negeri Sarawak, begitu juga dengan Sabah. Jawatankuasa ini telah bermesyuarat sebanyak empat kali untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan penubuhan Malaysia. Mesyuarat pertama diadakan di Sabah pada Ogos 1961, seterusnya di Kuching, Sarawak pada Disember 1961 dan di Kuala Lumpur pada Januari 1962. Mesyuarat terakhir telah diadakan di Singapura pada Februari 1962. Dalam mesyuarat terakhir itu Jawatankuasa bersetuju untuk mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Cobbold supaya dibuat tinjauan mengenai pandangan penduduk di Sarawak dan Sabah terhadap gagasan Malaysia

Memorandum yang dipersetujui Jawatankuasa tersebut mengandungi beberapa perkara penting untuk dijadikan asas kepada perlembagaan yang akan dirancang. Jawatankuasa ini bersetuju supaya perlembagaan Tanah Melayu dijadikan asas kepada perlembagaan Malaysia. Antara perkara lain yang dipersetujui ialah tentang perlunya ada sebuah kerajaan Persekutuan yang kuat dan berkuasa dalam hubungan luar, pertahanan dan keselamatan juga mengenai agama Islam diterima sebagai agama rasmi.

Pembentukan Suruhanjaya Cobbold pada 17 Januari 1962 adalah bagi memberi kebebasan dan keadilan kepada semua pihak. Suruhanjaya ini dibentuk hasil perundingan diantara kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Kerajaan British pada November 1961. Tujuan penubuhan Suruhanjaya ini adalah untuk meninjau pandangan penduduk negeri-negeri di Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak tentang gagasan Malaysia. Suruhanjaya ini dianggotai oleh lima orang ahli dengan dipengerusikan oleh Lord Cobbold, bekas gabenor Bank England, ahli-ahlinya terdiri daripada Dato’ Wong Pow Nee dan Encik Mohd Ghazali bin Shafie, sebagai wakil kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, manakala Sir Anthony Abell dan Sir David Watherston, wakil kepada kerajaan British. Mr. H. Harris bertindak selaku Setiausaha.

Sepanjang Februari-hingga April 1962, Suruhanjaya ini telah menemui lebih 4000 orang dan menerima 2200 memorandum daripada pelbagai pihak yang terdiri dari parti-parti politik, ahli-ahli Mesyuarat Kerajaan dan Undangan, pembesar-pembesar, anak-anak negeri dan pemimpin kaum, majlis bandaran, pemimpin-pemimpin agama, kesatuan sekerja dan orang ramai yang memberikan pandangan. Hasil dari laporan ini menunjukkan sejumlah 80 peratus penduduk Sarawak dan Borneo Utara menyokong kepada penubuhan Malaysia. Sokongan rakyat ini jelas dibuktikan melalui laporan Suruhanjaya Cobbold yang telah disahkan oleh perwakilan Setiausaha Bangsa-Bangas Bersatu. Selain itu, laporan itu juga memuatkan cadangan-cadangan daripada ahli-ahli Suruhanjaya berhubung beberapa perkara yang dinyatakan melalui memorandum-memorandum yang diterimanya.

Pada 21 Jun 1962 laporan ini telah dikemukakan kepada Kerajaan British dan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Setelah dikaji, kedua-dua kerajaan bersetuju menerima hampir semua cadangan yang telah dibuat oleh Suruhanjaya tersebut. Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Tanah Melayu juga menerima laporan Suruhanjaya Cobbold. Beliau telah membentuk sebuah Jawatankuasa untuk mengkaji laporan itu yang telah dipengerusikan oleh beliau sendiri dan anggota-anggota yang lain terdiri dari Tun Abdul Razak (Timbalan Perdana Menteri), Tan Siew Sin (Menteri Kewangan), Datuk (Dr) Ismail Dato’ Abdul Rahman (Menteri Keselamatan Dalam Negeri) dan Datuk V.T. Sambanthan (Menteri Kerja Raya dan Telekom). Kata sepakat telah dicapai oleh Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman dan Harold Macmillan, Perdana Menteri British untuk mengadakan rundingan di London. Rundingan tersebut telah berlangsung selama 2 minggu. Pada Julai 1963 satu perjanjian penting telah ditandatangani di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House, London. Perjanjian Penubuhan Persekutuan Malaysia ini telah ditandatangani oleh wakil-wakil kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Persetujuan telah diperolehi untuk menubuhkan Malaysia pada 31 Ogos 1963. Walau bagaimanapun, penubuhan Malaysia yang dirancang pada tarikh tersebut terpaksa ditangguhkan kerana laporan Setiausaha Bangsa-Bangsa Bersatu hanya dapat disiapkan pada 14 September 1963. Malaysia akhirnya diisytiharkan pada 16 September 1963.

Upacara pengisytiharan Malaysia telah diadakan di Stadium Merdeka Kuala Lumpur pada 16 September 1963. Upacara gilang gemilang ini telah dihadiri oleh SPB Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu, Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Sarawak dan Sabah. Upacara ini juga dihadiri oleh anggota kabinet, diplomat asing di Kuala Lumpur serta jemputan khas.

Pengisytiharan penubuhan Malaysia telah dibacakan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra di hadapan lebih kurang 30,000 rakyat Malaysia yang turut meraikan hari bersejarah tersebut. Tunku kemudiannya melaungkan “Merdeka” sebanyak tujuh kali diselang seli dengan laungan oleh rakyat yang hadir. Upacara diakhiri dengan bacaan doa selamat oleh Mufti Negeri Sembilan, Tuan Haji Ahmad bin Mohammad Said.

Rentetan Peristiwa:

27 Mei 1961
Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman semasa Persidangan Persatuan Wartawan Luar Negeri Asia Tenggara di Hotel Adelphi, Singapura telah menggagaskan tentang perlunya diwujudkan satu rancangan untuk membawa Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Borneo, Brunei dan Sarawak kedalam satu bentuk kerjasama politik

23 Julai 1961
Mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel Cawangan Tanah Melayu dan Borneo di Singapura telah bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia dipengerusikan oleh Donald Stephen.

Ogos 1961
Mesyuarat pertama Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia diadakan di Sabah

18-20 Disember 1961
Mesyuarat kedua Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia diadakan di Kuching Sarawak

6-7 Januari 1962

Mesyuarat ketiga Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia diadakan di Selangor Legislative Assembly Chamber,Kuala Lumpur

17 Januari 1962
Suruhanjaya Cobbold telah ditubuhkan bagi meninjau pandangan penduduk negeri-negeri di Borneo Utara(Sabah) dan Sarawak. Suruhanjaya dianggotai oleh lima orang ahli iaitu Lord Cobbold, Dato’ Wong Pow Nee, En. Mohd Ghazali Shafie, Sir Anthony Abell dan Sir David Watherston. Mr H. Harris bertindak sebagai Setiausaha
3-4 Februari 1962
Mesyuarat keempat Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia

21 Jun 1962
Laporan Suruhanjaya Cobbold telah disiapkan dan dikemukakan kepada kerajaan British dan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu

Julai 1962
Kata sepakat dicapai Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman dengan Tuan Harold MacMillan Perdana Menteri British untuk mengadakan rundingan.

9 Julai 1963
Perjanjian penting telah ditandatangani di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House, London. Perjanjian penubuhan Persekutuan Malaysia telah ditandatangani oleh wakil-wakil kerajaan British,Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura.

16 September 1963
Upacara pengisytiharan Malaysia diadakan di Stadium Merdeka Kuala Lumpur. Pengisytiharan penubuhan Malaysia telah dibacakan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman dihadapan lebih kurang 30 000 rakyat Malaysia

Thursday, 21 January 2010

Peristiwa 10/10/45 ( seperti peristiwa 13 Mei 1969) di Sarawak‑ Pertelingkahan Cina/Melayu

Buku Perjuangan Anti-Cession Sarawak telah mencatatkan pertelingkahan Orang Cina dan Orang Melayu di Sarawak. Apa yang saya harap ia menjadi peringatan kepada semua pihak. Kita hidup dalam negara malaysia yang aman damai. 50 tahun kita telah merdeka, jangan sampai kemerdekaan yang kita kecapi dipersia-siakan oleh generasi kini dan akan datang.


Semenjak peperangan bermula, perasaan pemusuhan telah wujud dikalangan Kaum Cina dengan Jepun, tetapi orang‑orang Jepun masih popular dikalangan orang‑orang Melayu dan Iban hingga awal tahun 1944. Kapal Jepun telah dihalang oleh Tentera Sekutu membawa bekalan makan, pakaian, seperti train‑train susah didapati di bandar dan pekan lagi, Jepun telah berusaha keras untuk mendapat padi dari penduduk‑penduduk pendalaman terutama petani‑petani ‑walaupun propaganda Jepun semakin deras dilancarkannya namun pendudukan mereka nampak ketara bertambah lemah. Mereka tidak terdaya menentang serangan udara dari Tentera Bersekutu dan telah lari dari kawasan pantai masuk ke dalam hutan pendalaman dan nyatalah mereka telah menghadapi saat‑saat terakhir. Jepun terpaksa menggunakan kekerasan untuk mendapatkan padi, ini menyebabkan orang‑orang Iban marah, apa lagi Jepun telah cuba merampas senapang mereka yang digunakan untuk berburu binatang itu.


Setelah pemberontakan orang‑orang Cina di Jesselton dihapus dengan ganasnya oleh Jepun dalam bulan Oktober 1943, Panglima Tentera Jepun telah memerintah supaya semua senjata api dirampas. Apakala Jepun hendak berbuat demikian mereka telah mendapat bantahan dari orang‑orang Iban, seorang dari pegawai polis Jepun S. Suzuki, kawan baik kepada Encik Eliab Bay, telah berjaya membatalkan perampasan senjata Iban dalam daerah Simanggang. Dengan adanya usaha beliau dapatlah perhubungan baik dengan Kaum Iban tempatan.

Apakala Jepun mengaku kalah dalam peperangan kedua, pada 14hb. Ogos 1945 dan Tentera Australia telah mendarat di Sarawak, maka jatuhlah tentera Jepun pada llhb. September, 1945. Rakyat jelata berasa lega dan gcmbira diatas kekalahan Tentera Jepun itu. Mereka berduyun‑duyun balik dari tempat‑tempat pelarian mereka di pedalaman kota‑kota dan kampung halaman masing‑masing. Kampung halaman yang menjadi senyap sunyi seolah‑olah berpuaka dimasa serangan balik Tentera Bersekutu itu.



Kekalahan Jepun ditangan Amerika dan British telah diberi penerangan luas oleh Kerajaan Chiang Kai‑Shek yang mengaku bahawa ini kemenangan mereka juga sebagai ahli bersekutu. Ini telah membangkitkan semangat berkobar‑ kobar orang Cina di seberang laut termasuk orang Cina di Sarawak. Apakala Tentera Australia masuk ke Kota Kuching pada 11hb. September 1945, mereka terpegun sekah melihat Lorong‑lorong Kota Kuching, telah dihiasi dengan bendera Cina Nasionalis seolah‑olah mereka itu masuk di Ibu Kota Hong Kong atau di mana‑mana negeri China, dan tidak terdapat bendera Sarawak dan British (Penulis sendiri telah sama menyaksikan apa yang dikibarkan di tiang‑ tiang bendera dan di kedai‑kedai di kota Kuching pada masa itu).


Di Saratok dan di tempat yang terpencil yang lain, apakala bendera Jepun diturunkan, maka bendera Cina Nasionalis telah dinaikkan serta merta oleh orang‑orang Cina setempat kerana mereka telah mempunyai keyakinan bahawa tentera yang membebaskan Sarawak itu, adalah Tentera Cina yang akan mengambil alih Kerajaan Sarawak. Orang‑orang Iban telah mendesak supaya bendera Cina itu diturunkan dan bendera Sarawak dinaikkan. Tindakan menghalang berkibarnya bendera Cina itu telah berlaku di Simanggang dan Betong.

Setelah tiga tahun lebih dalam kancah‑kancah peperangan dan tidak ada khabar berita dari Pihak Bersekutu, dan apakala Jepun menyerah diri maka terpancarlah dakyah memuji‑muji Chiang Kai‑Shek yang telah membantu memupuk semangat patriotik orang Cina Sarawak. Poster‑poster yang bersemarak warna‑warni datangnya dari Singapura dan Hong Kong telah mengagung‑agungkan Chiang Kai‑Shek yang memimpin angkatan tenteranya menyebabkan tentera Jepun membongkok menyerah diri. Siaran Radio China dari stesen yang tidak ketahui di Singapura telah menyiarkan berita bahawa tentera British telah kehilangan tenaga.

Kebanyakan daripada masyarakat Cina dalam Sarawak pada masa itu, percaya bahawa negeri Chinalah yang mengalahkan Jepun, dan menyifatkan bahawa jatuhnya Bom Atom di Nagasaki dan Hiroshima itu seakan‑akan serangan pukulan maut terakhir oleh Amerika. Semuanya pemikiran serupa ini adalah menjadi galakkan semangat, dan mungkin memang sudah tertanam difikiran sebahagian dari orang‑orang Cina, bahawa Kerajaan China akan bergerak untuk mencantumkan "Nan Yang" ‑Lautan Selatan, termasuk seluruh Borneo, Malaya dan Hindia Belanda sebagai Wilayah taklukannya. Apakala Vietnam Utara telah diduduki oleh tentera Cina Nasionalis pada bulan Ogos 1945, berita angin merebak di Malaya dan Sumatera, menyatakan bahawa tentera Cina akan mendarat di sana dan juga di Sarawak. Pentadbiran Angkatan Tentera British telah bertubi‑tubi ditanya oleh orang‑orang Cina tempatan bilakah tentera Cina akan datang ke Sarawak. Kekuatan dan keupayaan China Nasionalis telah dilaung‑laungkan dan pereka‑pereka propaganda Pihak Bersekutu telah menyebabkan sambutan hebat para patriot Cina itu mudah difahami dan kepada mereka, masalah penyerahan Sarawak kepada Britain pada mulanya, adalah suatu pekara yang dianggap tidak apa‑apa bagi mereka. Walaupun Pentadbiran Tentera Australia di Kuching dan Sibu mendapati bahawa orang-orang Cina adalah mesra dan suka bekerjasama, tetapi disebaliknya, mereka juga adalah orang yang sentiasa mahukan maksud dan hasrat mereka yang ingin menguasai sesuatu, di masukkan dalam polisi Kerajaan. Sebagai satu dari "4 Kuasa Besar" mereka berasa juga sama memainkan peranan yang besar dalam kemenangan pihak Bersekutu.

10hb. Oktober, 1945 telah dirayakan di Kuching secara sekali gus sebagai Hari Perayaan Kemenangan Pihak Bersekutu dan Hari Kebangsaan China. Pentas upacara itu dihias dengan bendera‑bendera China Nasionalis, British, dan Australia. Ucapan‑ucapan telah disampaikan oleh pemimpin‑pemimpin Cina termasuk Baba Ong Tiang Swee. Selain dari itu diadakan upacara perbarisan, acara sukan, jamuan makan malam yang diberi oleh Baba Ong Tiang Swee di rumahnya diikuti oleh pertunjukan pentas dan lain‑lainnya.


Keesokan harinya, awal pagi lagi berlakunya pergaduhan di antara orang‑orang Cina dengan orang Melayu di kawasan Main Bazaar Kuching pada jam 9.30 pagi. Lebih dari 1,000 orang Cina telah berkumpul di jalanraya di hadapan Brooke Dockyard, dalam keadaan bersiap sedia untuk menyerang Masjid dan Kampung Melayu di situ . Mereka menganggap bahawa orang Melayu adalah kononnya sebagai pembelot kepada Kerajaan Sarawak dan nekad untuk memukul orang Melayu.

Dengan kudrat Allah, Pegawai Tentera Australia telah ternampak Kumpulan Cina itu dan dengan segera menghantar pasukan tentera dalam sebuah lori yang penuh serta berjaya merampas senjata bakal‑bakal perusuh itu dan perintah berkurung telah dikuatkuasakan sepanjang 24 jam dalam kawasan Bandar Kuching.

Timbul pula satu cerita iaitu pergaduhan itu hanya dapat diselesaikan apakala Baba Ong Tiang Swee telah bersetuju menanda tangani perjanjian dengan Datuk Pahlawan Abang Haji Mustapha Moasili bahawa orang Cina patutlah menjauhkan diri dari berpolitik. Ini telah menjadi penjelasan mengapa Ketua Cina tidak terlibat dalam masalah penyerahan Sarawak kepada British yang berlaku beberapa bulan kemudian.

Kebanyakan persatuan‑persatuan kaum sebelum perang mengambil masa untuk menyusun semula pertubuhan‑pertubuhan mereka. Sungguhpun Persatuan Kebangsaan Melayu ternyata berkobar‑kobar diperangsangi oleh apa yang telah dibuat oleh Kaum Cina di waktu perayaan l0hb. October, 1945 itu tetapi mereka masih menunggu waktu yang agak sesuai untuk mengadakan kesyukuran. Akhirnya Jawatankuasa Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak telah memperkenalkan diri mereka dan menyatakan kegembiraan dan kesyukuran di atas kejayaan Pihak Bersekutu membebaskan Sarawak dari tindakan Jepun kepada Panglima Angkatan Bersenjata Australia, Brigedier T.C. Eastick pada Ilhb. November, 1945. Mereka telah mengadakan temasya Perlumbaan Perahu.

Lebih ketara lagi ialah, Persatuan itu telah menggunakan namanya dalam corak baru iaitu Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak atau The Malay National Union of Sarawak (MNU). Perhimpunan Dayak pada waktu itu berada dalam keadaan sedang disiasat oleb pihak Pentadbiran Tentera sebagai Persatuan yang dicurigai bersekutu dengan pihak musuh ataupun tidak.

Apakala berita penyerahan Negeri Sarawak telah di terima pada awal bulan Februari 1946, Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak dan Perhimpun Dayak Sarawak telah mendapat dorongan semangat yang terkuat secara mengejut, keakhirannya mengubah langkah dari persatuan kebajikan kepada tahap kegiatan Parti Politik.

dipetik dari Buku Perjuangan Anti-Cession Sarawak oleh Hj Mohd Hasbie Bin Sulaiman.