11 September 2005 adalah hari bersejarah dalam hidup ku dalam mencorak masa depan dan impian yang aku impikan selama ini untuk menjadi seorang Jurutera yang berjaya. Aku tiba di lapangan terbang antarabangsa Manchester pada pukul 5.30 petang pada hari tersebut. Disebabkan aku bukanlah dari keluarga golongan atasan, ibu bapa ku tidak mampu untuk berangkat sama mengiringiku ke United Kingdom. Segalanya atas inisiatif sendiri untuk mencari jalan bagaimana hendak ke tempat yang di tujui. Destinasi seterusnya ialah Preston, Lancashire. Di situlah letaknya universiti tempat ku menuntut ilmu.
Setelah penat terbang di awan biru melintasi 3 benua (Asia, Afrika & Eropah) selama 13 jam, pemeriksaan keselamatan di lapangan terbang Manchester yang ketat pada hari itu amatlah menyiksakan. Ini mungkin disebabkab dunia barat masih fobia daripada kisah 11 September Amerika. Setelah semuanya selesai, aku pun mengambil bagasi & keluar dari balai ketibaan.
Di balai ketibaan, aku masih terpinga-pinga seperti seorang yang dungu di dunia yang asing ini. Bahasa melayu tidak lagi dipertuturkan di sini. Saiz badan dan warna kulit jauh sekali untuk membuatkan aku berasa di tempat sendiri. Semuanya asing bagi ku. Perkara pertama yang aku lakukan ialah menelefon ibu bapa tercinta memberitahu yang aku telah selamat sampai di England. Hati risau ayah dan bonda menjadi tenang setelah mendengar suara ku dan mengetahui bahawa aku selamat sampai di England.
Aku tenangkan diri dan cuba berfikir sebaik yang mungkin mecari jalan hendak ke Preston. Alhamdulillah, aku terlihat terpampang nama Preston pada skrin jadual keretapi. Maka aku pun bergegas mendapatkan tiket keretapi ke Preston. Ianya berjumlah £10.50. Dalam hati ku berkata "Iskhhh... Mahal ada jak ticket tok." Tepat pukul 6.25 petang keretapi pun bertolak ke Preston.
Ketika dalam perjalanan, aku melihat pemandangan landskap England yang indah. Biri-biri dan lembu sedang asyik mengunyah rumput yang segar menghijau dan rumah-rumah bata merah zaman Victoria menghiasi keadaan sekeliling. Cuaca pada ketika itu juga amat dingin seperti sebuah penghawa dingin yang besar di pasang untuk menyejukkan seluruh negara tersebut. Sesekali aku terbersing disebabkan oleh cuaca yang dingin. Setibanya aku di stesyen keretapi Preston, aku duduk seketika untuk mencari jalan bagaimana hendak ke Universiti. Hari telah pun gelap dan aku masih tiada hala tuju. Kebetulan hari tersebut adalah hari Ahad. Mana mungkin pejabat universiti beroperasi ketika itu. Aku juga tidak tahu di mana akan ku berteduh pada malam itu. Lantas aku pun berkata pada diri sendiri, "Aaahhh... Tido rah railway station pun jadi lah. Orang putih bukan nya kisah. Lagik pun sekda orang tauk dengan aku bah. Apa nak dimalu aku tido atas kerusi di station tok." Lalu saya membuka bagasi untuk mengeluarkan Sleeping Bag yang aku bawa dari Kuching. Aku sudah kepenatan dan bersedia untuk melelapkan mata. Keselesaan adalah perkara yang kedua bagi ku ketika itu.
Belum sempat aku merebahkan diri di atas kerusi, datang seorang petugas stesyen keretapi tersebut menyapa ku. Beliau bertanya adakah aku baru tiba di negara ini. Aku menceritakan situasi ku yang baru tiba di negara ini dan tiada tempat untuk bermalam. Beliau bimbang yang aku akan kesejukan di tengah malam kelak dan mencadangkan agar aku menginap di sebuah hotel murah berhadapan dengan stesyen tersebut. Aku berterima kasih kepada pegawai tersebut dan menyatakan bahawa aku selesa untuk bermalam di kerusi tersebut sahaja. Namun beliau tetap berkeras supaya aku menginap di hotel tersebut. Lagipun bayarannya cuma £20 semalam. Aku pun bersetuju untuk bermalam di hotel yang bernama Railway Inn berhadapan dengan stesyen tersebut. Ketibaan ku di hotel disambut dengan mesra oleh seorang pekerja hotel tersebut. Sebenarnya hotel tersebut adalah sebuah pub dan menyediakan bilik untuk penginapan juga. Setelah membayar sewa untuk malam itu, pekerja tersebut membantu aku mengangkat beg ku ke bilik.
Setelah pintu bilik di tutup, perkara pertama yang aku lakukan ialah memasak mee maggi yang aku bekal dari Kuching. Laparnya aku pada ketika itu hanya tuhan yang tahu. 2 bungkus maggi menjadi santapan mewah ku pada malam itu. Setelah kenyang, aku pun melabuhkan tirai hari yang panjang itu. Sebelum melelapkan mata, aku berdoa
"Ya Allah, Engkau lindungilah hamba mu ini. Bantulah aku dalam setiap perkara yang aku lakukan. Permudahkanlah urusan ku sepanjang di sini. Kepadamu aku memohon dan kepadamu aku berserah. Amin...."




